9 Mac 2017 - 20:26
Singapura Pantau Syarikat Tempatan Ada Kaitan Dengan Pyongyang

Kerajaan republik ini sedang memantau satu laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengaitkan sebuah syarikat tempatan dengan firma Korea Utara terbabit dalam penjualan senjata.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kerajaan republik ini sedang memantau satu laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengaitkan sebuah syarikat tempatan dengan firma Korea Utara terbabit dalam penjualan senjata.

Laporan PBB yang diserahkan kepada Majlis Keselamatan minggu ini mengenal pasti Glocom sebagai syarikat hadapan dikendalikan ejen perisikan Pyongyang yang menjual peralatan radio tempur sebagai melanggar sekatan badan antarabangsa itu.

Glocom dikendalikan cawangan Pyongyang oleh sebuah syarikat berpangkalan di republik ini bernama Pan Systems, kata laporan PBB yang dikumpul panel pakar pematuhan sekatan ke atas Korea Utara.

Panel itu memetik satu invois dan maklumat lain diperolehnya. Pengarah urusan Pan Systems republik itu, Louis Low, 79, berkata, beliau tahu mengenai kewujudan Pan Systems Pyongyang, tetapi tidak menubuhkan atau mengendalikan syarikat itu.

Dalam jawapan bertulis berhubung soalan PBB mengenai kaitannya dengan Korea Utara, yang dapat dilihat Reuters, Low berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan pembabitan Pan Systems Pyongyang dalam dagangan senjata.

"Bagaimana kami terbabit dalam terlalu banyak perkara yang kami tidak tahu atau dengar? Anggapan anda adalah salah. Tidak benar. Pan Systems Pyongyang bukan cawangan Pan Systems (S) Pte Ltd," tulis Low kepada panel sekatan PBB.

Dalam jawapan e-mel terhadap soalan Reuters, jurucakap Kementerian Luar Singapura tidak mengatakan jika mana-mana agensi kerajaan sedang menyiasat Pan Systems. "Saya tidak boleh memberi maklumat berhubung proses dalaman kami. Kerajaan Singapura tidak akan teragak-agak untuk mendakwa individu atau entiti yang gagal mematuhi undang-undang Singapura ketika melaksanakan langkah ditetapkan Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSCR)," kata jurucakap itu.

Jurucakap itu berkata, kerajaan sedang 'meneliti rapat' laporan itu dan akan mengambil langkah perlu bagi memastikan pematuhan undang-undang Singapura. Panel PBB dalam laporannya mencadangkan sekatan ke atas Pan Systems Pyongyang.

Laporan PBB memetik sumber maklumat yang tidak didedahkan berkata, Pan System Pyongyang dan Glocom dikawal oleh anggota Biro Pengawasan Awam iaitu agensi perisikan Korea Utara yang ditugaskan untuk operasi di luar negara dan pemerolehan senjata.

Pan Systems Pyongyang memiliki rangkaian akaun bank, syarikat hadapan dan agen, kebanyakannya terletak di China dan Malaysia, untuk memperoleh komponen dan menjual sistem lengkap, kata laporan itu.

Pan Systems Pyongyang menggunakan Malaysia sebagai pangkalan wakil pentingnya di luar negara dan syarikat yang bertindak bagi pihaknya, kata laporan itu. Low memberitahu PBB dan Reuters, beliau tidak tahu menahu mengenai kewujudan cawangan Pan Systems di Malaysia. - REUTERS